(+60)13-3493237 akademisuper@gmail.com

Adab Berdoa dan Cara Doa Terbaik Persediaan Hadapi Peperiksaan

Adab Berdoa dan Cara Doa Terbaik Persediaan Hadapi Peperiksaan

Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Hasan Mohd Ali, Ph.D. bagaimana doa yang terbaik dan adab doa untuk menghadapi peperiksaan kepada pelajar.

Setiap usaha yang anda lakukan sebaik-baiknya disertai dengan doa. Berdoalah kepada Tuhan semoga segala usaha yang anda lakukan mencapai kecemerlangan. Melalui berdoa juga dipercayai dapat memberikan atau kekuatan kepada individu yang melakukan sebarang usaha. Tiada kuasa yang paling layak bagi mendegar rintihan seorang hamba dan tiada juga yang paling layak bagi anda memohon petunjuk dan pertolongan selain daripada Tuhan.

Berikut adab-adab berdoa :-

  1. Merendahkan diri dan suara (Tawaduk)
    Merendahkan diri dan melafazkan ssuara yang sederhana serta dengan nada yang lunak semasa berdoa adalah disukai oleh Allah.
  2. Menumpukan fikiran (Khusyuk)
    Menumpukan fikiran serta memusatkan perhatian kepada sesuatu perkara yang dikerjakan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi semasa berdoa. Ini disebabkan kemakbulan doa berkait rapat dengan sifat khusyuk seseorang.
  3. Gigih dan penuh harapan
    Bersungguh-sungguh bagi melakukan sesuatu pekerjaan dituntut dan punca penghasilan kejayaan yang diharapkan. Harapan yang tinggi pula adalah penggerak dan pendorong kepada terbitnya hasil kerja yang memuaskan daripada usaha pekerjaan itu. Kesungguhan dan harapan yang tinggi sebenarnya adalah dua perkara yang berangkaian dan mempunyai saling kaitan. Oleh kerana itu, kesungguhan dan harapan mempengaruhi kemakbulan doa itu. Berdoa dengan cara main-main, tidak membawa apa-apa kesan seperti yang diharap-harapkan.
  4. Memohon ampun kepada Allah
    Kebersihan jiwa, makanan, minuman dan pakaian adalah mempengaruhi kemakbulan sesuatu doa. Jiwa yang tidak suci, ditambah dengan makanan dan minuman yang haram adalah sebagai salah satu penyebab Tuhan tidak memakbulkan doa hambanya. Oleh itu, sebelum seseorang berdoa, anda hendaklah memohon ampun kepada Allah SWT atas segala kesilapan yang dilakukannya sebelum ini dengan cara mengucapkan istighfar kepada Tuhan apabila kita sedar bahawa niat, perasan jiwa, akal serta makan dan minuman masih berada dalam keadaan tidak suci.
  5. Menghadap kiblat dan mengangkat kedua belah tangan
    Menghadap kiblat adalah salah satu yang diisyaratkan ataupun disunatkan sebelum seseorang itu melakukan sesuatu ibadah.
  6. Memahami kandungan dan makna doa
    Dengan memahami isi kandungan doa sekali gus dapat memudahkan seseorang bagi menghayati doa itu. Oleh kerana itu, lafaz doa yang dibaca mestilah difahami dan dihayati dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan tahap kekhusyukan. Tanpa memahami dan menghayati maksud doa, sama seperti orang yang tidak berdoa.
  7. Memuji Tuhan pada permulaan dan penutup doa
    Sebaik-baik doa adalah doa yang dimulakan dan diakhiri dengan memuji Tuhan. Sebutan tahmid di awal doa ini menambah lagi keberkatan dan menentukan kemakbulan satu-satu doa. Begitu juga sebaik-baiknya doa adalah apabila seseorang itu menamatkannya dengan dilafazkan tahmid penutup yang menandakan berakhirnya doa.
  8. Membaca selawat kepada Nabi Muhammad
    Disamping bertahmid kepada Allah swt, eloklah doa itu diiringi dengan membaca selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW

Sumber : Teknik Menjadi Pelajar Cemerlang, Dr. Hasan Mohd Ali, Ph.D.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Dapatkan Artikel Terkini Melalui Email Anda

LIKE FOLLOW SUBSCRIBE AKADEMI SUPER